Latihan 2 - Perpaduan
“Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara kita dan kepentingannya.. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.”
Langkah Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan semua pelajar ijazah pertama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) mengambil mata pelajaran baru, iaitu Hubungan Etnik merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan polarisasi antara kaum di negara ini.Kita menyambut baik langkah itu kerana usaha ini dapat menyumbang kepada kefahaman antara kaum dan seterusnya mewujudkan hubungan yang lebih baik di kalangan penduduk di negara ini lebih-lebih lagi memandangkan generasi muda merupakan golongan yang mencorakkan masa depan negara. Bagi kita, apa-apa sahaja usaha yang boleh meningkatkan perpaduan negara wajar disokong kerana perkara ini merupakan suatu perkara pokok demi keamanan, pembangunan dan kemajuan negara. Walaupun pihak universiti telah menjalankan pelbagai program kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan pelbagain kaum,kita berharap bahawa baik pelajar-pelajar IPTA mahupun IPTS menyambut baik dengan mata pelajaran baru ini dengan memahami matlamatnya adalah untuk kebaikan semua penduduk negara ini supaya terus harmoni pada masa akan datang.
Dalam hal ini, adalah wajar untuk kita ingat bahawa mata pelajaran Hubungan Etnik bukan saja bertujuan bagi menambahkan pengetahuan atau lulus peperiksaan, tetapi subjek ini wajar dipelajari dalam kerangka fikiran positif dengan kesedaran terhadap kepentingan soal perpaduan negara. Walau bagamainapun, pengenalan mata pelajaran Hubungan Etnik harus dilihat dalam konteks yang betul kerana cara ini bukannya azimat bagi mengatasi polarisasi kaum yang timbul baik di kampus mahupun dalam masyarakat. Polarisasi kaum masih menjadi masalah dan akan bertambah buruk jika tidak diperkenalkan banyak lagi usaha untuk mengatasinya.
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sudah berusaha dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan. Antaranya termasuklah pengenalan program Sekolah Wawasan yang menempatkan tiga buah sekolah berlainan kaum dalam satu kawasan dan mewajibkan pelajar berlainan kaum tinggal dalam satu bilik asrama.Tetapi, kita percaya bahawa usaha itu masih tidak mencukupi dan untuk benar-benar mengatasi masalah ini, usaha ini memerlukan komitmen semua etnik di negara ini daripada pelbagai sudut kehidupan. Kita tidak wajar menyuruh pelajar-pelajar supaya memperbaik hubungan antara kaum dalam kehidupan mereka jika masyarakat di peringkat dewasa tidak melakukannya secara menyeluruh. Jadi, masyarakat mestilah menunjukkan contoh kepada anak mereka dengan cara mereka menjalinkan hubungan melalui pelbagai aktiviti.
Perkara sebenar yang berlaku dalam masyarakat hari ini pada keseluruhannya masih berbentuk polarisasi kaum. Di taman-taman kediaman umpamanya, masing-masing kaum bercampur dalam kalangan mereka sahaja. Pelajar yang belajar di sekolah juga mengikut kaum masing-masing. Pelajar sepatutnya ditempatkan dalam satu kelas yang terdiri daripada pelbagai kaum. Begitu juga halnya di universiti, mereka sepatutnya diletakkan dalam satu kelas tutorial atau kerja kumpulan yang ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Apabila mereka bekerja nanti, setiap kaum mestilah mempunyai peluang untuk berkerja di tempat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam bidang media pula, setiap kaum, kalau boleh, mestilah membaca akhbar dan menonton saluran televisyen yang sama. Tanpa pergaulan yang tulen dan semula jadi, akan mudah timbul rasa syak wasangka kerana tidak mengenal budaya dan psikologi kaum masing-masing. Sebagai akibatnya, sensitiviti mudah tersentuh dan salah faham mungkin timbul hingga menyebabkan perkara-perkara yang tidak wajar tercetus dengan begitu saja. Dalam hal ini, Ibu bapa Malaysia perlu sedar tentang kepentingan hubungan baik antara kaum ini supaya mereka boleh menggalakkan anak-anak bercampur gaul dengan kaum yang lain. Tegasnya, pengenalan mata pelajaran Hubungan Etnik di universiti merupakan satu usaha yang bersifat pelengkap untuk memperkukuh perpaduan di negara kita.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Lidah Pengarang, Usaha Tingkatkan ubungan Kaum,Utusan Malaysia, 19 Julai 2004)
Soalan 2: Pemahaman
Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i. Apakah maksud rangkai kata mengurangkan polarisasi antara kaum ?
[2 markah]
ii. Nyatakan kesan yang akan timbul jika perpaduan negara tidak dipelihara?
[3 markah]
iii. Pada pendapat anda, apakah program-program yang perlu diadakan supaya perpaduan negara sentiasa terpelihara dan semakin kukuh?
[4 markah]
No comments:
Post a Comment