Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

Wednesday, 11 April 2012

Novel - Jenis Watak

Soalan: Jenis Watak
Pengarang membentuk pelbagai jenis watak dalam sesebuah novel. Huraikan jenis-jenis watak yang terdapat dalam salah satu novel tersebut.
Jawapan:
Terdapat empat jenis watak yang terdapat dalam sesebuah novel. Wata-watak tersebut ialah ialah watak protagonis, watak antagonis, watak dinamik, dan watak statik. Watak protagonis dalam novel Konserto Terakhir ialah Hilmi. Hilmi berkonflik dengan Datin Salmah yang terlalu mementingkan darjat hingga sanggup menyingkirkan Hilmi dari rumahnya.

Watak antagonis pula ialah Datin Salmah yang sombong dan mementingkan darjat sebagai orang ternama. Datin Salmah benci akan orang kampung yang miskin dan tidak berpelajaran. Hilmi berasa terhina dan berlakulah konflik dengan Datin Salmah. Pada akhir cerita, Datin Salmah sebagai watak antagonis kalah setelah insaf akan perbuatannya yang kejam terhadap Hilmi.

Watak dinamik ialah Datuk Johari yang banyak mengalami perubahan. Kejayaan menjawat jawatan tinggi merupakan suatu perubahan. Begitu jugalah halnya dengan perubahan sifat daripada seorang yang tidak suka akan Hilmi kepada seorang yang penyayang dan insaf.

Watak statik ialah Encik Bakar yang tidak berubah sifatnya. Encik Bakar sayang akan Hilmi. Perasaan sayangnya itu tidak berubah walaupun anaknya, Azizah membenci Hilmi, suaminya.

Novel-Peranan Watak Utama:

Soalan:
Dalam sesebuah novel, watak utama memainkan peranan yang penting. Pada pendapat anda, apakah peranan yang dimainkan oleh watak utama dalam sesebuah novel.

Jawaban:
Novel yang saya kaji ialah novel Konserto Terakhir. Banyak peranan yang dimainkan oleh watak utama. Watak utama berperanan sebagai wakil pengarang untuk menyampaikan tema dan persoalan. Sebagai contohnya, watak Hilmi mempunyai sifat-sifat peribadi yang tabah dan gigih berusaha untuk mencapai kejayaan. Sifat inilah yang menjadi persoalan pokok novel tersebut. Watak utama memainkan peranan penting untuk menghidupkan cerita. Hampir semua peristiwa melibatkan watak utama kerana watak utama menjadi fokus utama cerita. Contohnya, watak Hilmi memainkan peranan dari permulaan cerita hinggalah  peringkat peleraian.

Watak utama juga berperanan untuk mengembangkan plot kerana perkembangan plot seiring dengan perkembangan perwatakan watak utama. Contohnya, watak Hilmi terlibat dengan peristiwa penting dari peringkat permulaan, perkembangan, perumitan, puncak, dan peleraian. Selain itu, watak utama berperanan menyampaikan mesej dan nilai peribadi yang diterangkan oleh pengarang. Contohnya, watak Hilmi digambarkan sebagai bersifat sabar, tabah menghadapi cabaran, jujur, dan bijaksana. Sifat-sifat inilah yang wajar dimiliki untuk menjadikan seseorang itu berjaya. Kejayaan Hilmi sebenarnya merupakan kejayaan impian pengarang.