Pada minggu ini, bahagian tatabahasa yang akan dipelajari ialah soalan tentang membina ayat. Cikgu akan menggunakan Teknik Peluasan 5W1H. Sila fahami teknik tersebut dan cuba mempraktikkannya.
Teknik Peluasan 5W1H untuk membina ayat
Oleh Abdul Ghalib bin Yunus, Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48
Soalan contoh:
Bina ayat dengan menggunakan perkataan `gerakan’.
Teknik:
Langkah1: Bina frasa `’melancarkan gerakan” (apa)
Langkah 2: Masukkan subjek ayat (siapa)
”Pihak polis melancarkan gerakan”
Langkah 3: Masukkan keterangan (Mengapa)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu ”
Langkah 4- Masukkan keterangan masa (Bila)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam.”
Langkah 5- Masukan keterangan tempat (Di mana)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal itu.”
Langkah 6- Masukkan keterangan cara (Bagaimana)
”Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal tersebut dengan menggunakan seekor anjing.”
Jawapan lengkap:
Pihak polis (siapa)
melancarkan gerakan (apa)
untuk memburu penjenayah yang kejam itu (mengapa)
pada petang semalam (bila)
di sekitar hutan yang tebal tersebut (di mana)
dengan menggunakan seekor anjing. (Bagaimana)
Jawapan lengkap:
Pihak polis melancarkan gerakan untuk memburu penjenayah yang kejam itu pada petang semalam di sekitar hutan yang tebal tersebut dengan menggunakan seekor anjing.
Soalan Contoh:
(a) Tulis satu ayat bagi setiap frasa di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) mengguna pakai
(ii) membuat perkiraan
(iii) mengenal pasti
(iv) menyusun atur
(v) mencari gali
(vi) mengambil alih.
Jawapan:
(i) Kita pada hari ini masih lagi mengguna pakai undang-undang yang digubal oleh pihak British dengan membuat penambahbaikan untuk menangani masalah keselamatan negara kerana undang-undang tersebut masih relevan dengan zaman sekarang.
(ii)Pada hari semalam, ketika berlangsungnya persidangan itu di PWTC, beliau telah salah membuat perkiraan apabila meletakkan jawatan sebagai predsiden dengan tergesa-gesa tanpa berbincang dengan penyokong beliau kerana maklumat tentang penyelewengan yang dibangkitkan oleh perwakilan merupakan fitnah semata-mata.
(iii) Pada petang semalam, Encik Samad mengajar murid Tingkatan 5 Setia di pusat sumber sekolah tentang cara-cara mengenal pasti isi tersurat rumusan dengan menggunakan Kaedah C – G kerana mereka masih belum menguasai isi tersurat tersebut.
(iv) Mereka masih berada di dewan sekolah pada pagi tadi untuk menyusun atur kerusi dan meja dengan menggunakan tali dan pembaris supaya kedudukan meja dan kerusi tersebut menepati syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
(v) Ahli kaji bumi Syarikat Petronas Cari Gali Sdn. Bhd sedang mencari gali telaga minyak yang baharu dengan menggunakan alat penggerudi yang canggih pada hari semalam di Laut Cina Selatan kerana telaga minyak sedia ada sudah hampir kehabisan minyak.
(vi) Di negara Libya, pada hari semalam, penduduknya kegembiraan kerana pihal pemberontak berjaya mengambil alih pemerintahan negara itu dengan menggulingkan presiden mereka setelah mendapat bantuan daripada pasukan tentera NATO.
Soalan latihan:
Dengan menggunakan Teknik Peluasan 5W1H, bina ayat dengan perkataan yang berikut:
(i) mempelajari
(ii) menyelesaikan
(iii) mengikuti
(iv) memajukan
(v) memasuki
(vi) mendirikan
[ 6 Markah]
No comments:
Post a Comment