Saturday, 7 January 2012

Petua untuk Menguasai Ayat


Bahasa Melayu bukanlah bahasa yang sukar untuk dipelajari dan dikuasai. Jika dibandingkan dengan bahasa lain di dunia, terutamanya bahasa Arab, bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling mudah untuk difahami dan seterusnya digunakan dalam kehidupan. Banyak penutur asing dari luar Negara dapat menguasai bahasa Melayu setelah beberapa bulan atau tahun memperlajarinya. Namun demikian, terdapat juga sejumlah besar pengguna bahasa Melayu yang lambat menguasai bahasa Melayu, khususnya dalam aspek penulisan. Hal ini berlaku kerana mereka  tidak berusaha untuk mengenal dan menguasai ayat. Untuk menguasai aspek penulisan, mereka perlu menguasai  perkara  penting yang berkaitan dengan ayat. Selain mereka perlu mengenal kata, frasa dan klausa, mereka mestilah menguasai empat perkara yang di bawah ini:


A.   Menguasai bahagian  subjek dan predikat sesuatu ayat
B.   Menguasai Jenis ayat
C.   Menguasai ragam ayat
D.   Menguasai binaan ayat.

A.   Menguasai bahagian Subjek dan Predikat

Setiap pengguna mestilah menguasai bahagian subjek dan predikat sesuatu ayat. Apabila mereka menguasai bahagian subjek dan predikat sesuatu ayat, mereka akan dapat mengenali kedudukan subjek dan predikat  sesuatu ayat sama ada ayat tersebut dalam susunan biasa atau susunan songsang.  Jika mereka tidak menguasai binaan , ayat-ayat yang dibina kemungkinan akan menjadi ayat yang tergantung.

Ayat yang tergantung ialah ayat yang tidak lengkap, iaitu ayat yang tidak mempunyai binaan subjek atau binaan predikat. Lihat  ayat contoh yang berikut:

1.            *Untuk menyiapkan kerja-kerja itu memerlukan perbelanjaan yang besar.

Dalam ayat (1) di atas, ayat tersebut tidak mempunyai subjek. Klausa untuk menyiapkan kerja-kerja itu merupakan keterangan predikat, manakala frasa “memerlukan perbelanjaan yang besar”  ialah frasa kerja yang menjadi binaan predikat. Ayat tersebut menjadi gramatis sekiranya subjek yang terdiri daripada frasa nama dimasukkan seperti  ayat yang di bawah ini:

            1a.       Untuk menyiapkan kerja-kerja itu, kita memerlukan perbelanjaan yang besar.

Dalam ayat (1a.) di atas, kita ialah subjek yang terdiri daripada frasa nama.


Selain membina ayat yang tidak lengkap dari segi subjek dan predikat, seseorang itu dikatakan tidak mengenal ayat, jika mereka tidak dapat mengenal pasti bahagian predikat dan bahagian subjek dalam ayat. Masalah ini timbul apabila pengguna mengatakan binaan subjek sebagai predikat dan binaan predikat sebagai subjek. Lihat  ayat contoh yang di bawah ini:

2.            Itu Menara Kuala Lumpur.
3.            Itulah Menara Kuala Lumpur.

Sekali pandang, kedua-dua ayat (2) dan (3) di atas mempunyai binaan subjek dan predikat yang sama. Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa akan mengatakan bahawa subjek ayat (2) dan ayat (3) ialah Itu dan Itulah, dan predikatnya ialah Menara Kuala Lumpur. Sebenarnya, dalam ayat (2), subjeknya ialah Itu, dan dalam ayat (3) subjeknya ialah Menara Kuala Lumpur. Hal ini dikatakan demikian kerana Itulah merupakan binaan predikat. Binaan ini dikatakan binaan predikat kerana terdapat partikel –lah. Dalam bahasa Melayu, partikel –lah menandakan predikat dalam ayat songsang. Oleh itu, untuk mengenal ayat, pengguna bahasa hendaklah mengetahui dan menguasai ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang.

Seterusnya,  pengguna bahasa mestilah mengetahui bahawa terdapat ayat-ayat tertentu yang kelihatan seperti tidak mempunyai subjek ataupun predikat. Dalam hal ini, subjek dalam ayat tersebut sebenarnya telah mengalami transformasi pengguguran. Lihat ayat contoh di bawah ini:

4.            Bacalah buku itu.
5.            Berhenti!

Pengguna bahasa menganggap ayat (4) dan ayat (5) di atas tidak gramatis kerana beranggapan ayat-ayat tersebut tidak lengkap dari segi binaan subjek dan predikatnya. Anggapan ini timbul kerana mereka tidak menyedari bahawa terdapat satu peraturan atau bentuk transformasi yang mengizinkan kata-kata tertentu digugurkan atau ditiadakan dan sedia difahami oleh pendengar atau pengguna bahasa yang lain. Ayat (4) dan ayat (5) di atas merupakan ayat yang lengkap dan sempurna. Ayat (4) merupakan ayat permintaan dan ayat (5) ialah ayat suruhan. Ayat-ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut sebelum mengalami transformasi pengguguran.

            4a.       Kamu bacalah buku itu.
            5a.       Kamu berhenti.

Oleh hal yang demikian, pengguna  akan dapat membina pelbagai ayat yang bervariasi jika mereka menguasai binaan subjek dan predikat dalam ayat.

B.   Menguasai  Jenis ayat

Dalam bahasa Melayu terdapat pelbagai jenis ayat. Secara umumnya, ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan, dan ayat perintah.

Ayat penyata

Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan untuk membuat satu penyataan. Tujuannya adalah untuk menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal.


Contoh:

  1. Ayah masih di pejabat.
  2. Pulau itu amat cantik sekali.
  3. Semua orang menyayanginya.
  4. Mereka bercuti ke Langkawi.
  5. Alif penyanyi baharu yang serba boleh.


Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.

Contoh:
  1. Dia semakin kurus?
  2. Tarikh kejohanan itu bila?
  3. Encik Samad ke Johor Bahru?
  4. Di manakah Sulaiman tinggal?
  5. Siapakah yang mencipta lagu itu?

Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh, melarang, mempersilakan atau meminta seseorang supaya berbuat sesuatu atau melakukan sesuatu.

Contoh:
  1. Sila masuk.
  2. Pergi dari sini.
  3. Dilarang merokok.
  4. Ambillah makanan itu.
  5. Belikan saya mi goreng.


Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru serta diakhiri tanda seru (!) dalam bentuk tulisan. Ayat ini digunakan untuk menyampaikan atau meluahkan pelbagai bentuk perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, dan sakit.



Contoh:
  1. Hai, baru balik!
  2. Ah, aku tidak setuju!
  3. Aduh, sakitnya perut aku ini!
  4. Nah, rasakan pukulanku ini!
  5. Aduhai, malang sungguh nasibku!

Daripada huraian di atas, jelaslah bahawa  ayat yang pelabagi dalam bahasa Melayu itu hanyalah terdiri daripada empat jenis. Dengan menguasai jenis ayat, pengguna akan mengetahui jenis ayat yang sepatutnya dibina bagi sesuatu tujuan.



C.   Menguasai Ragam Ayat


Apabila pengguna menguasai ayat, mereka akan  dapat membezakan ayat dari segi jenis, binaan, dan ragam. Apakah maksud ragam ayat? Ragam ayat sebenarnya dapat dilihat dan dikenal pasti dari segi aktif atau pasif. Dalam bahasa Melayu,terdapat dua ragam ayat , iaitu ayat aktif dan ayat pasif.

Ragam aktif terdiri daripada dua jenis, iaitu ayat aktif tak transitif dan ayat aktif transitif.

Ayat aktif tak transitif

Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mempunyai kata kerja tak transitif dalam kluasa utamanya. Kata kerja tersebut tidak memerlukan objek. Namun demikian, kata kerja jenis ini boleh diikuti oleh  pelengkap atau unsur keterangan.

Contoh ayat aktif tak transitif.
1.         Rombongan pengantin itu telah tiba.
2.         Kenapakah badannya menjadi kurus?
3.         Kanak-kanak  itu  sedang tidur  di bawah pokok.
4.         Kereta  dari Johor Bahru itu  tiba-tiba membelok ke kiri.
5.         Mereka   tidur bertilamkan rumput pada malam itu.

Ayat aktif transitif ialah ayat yang mempunyai kata  kerja transitif dalam klausa utamanya. Kata kerja tersebut memerlukan objek selepasnya.

Contoh ayat aktif transitif.
1.      Jia Chen akan menghadiri majlis itu.
2.      Nurhidayah telah menjawab soalan itu.
3.      Pegawai  itu sedang menjalankan tugas itu.
4.      Kontraktor itu akan  memperbesar rumah kami .
5.      Kami akan  mempertingkatkan pencapaian murid dalam PMR tahun ini.

Ayat pasif ialah ayat yang mempunyai kata kerja pasif. Kata kerja yang terdapat dalam ayat pasif  tersebut membawa maksud objek asal mengalami sesuatu.

Dengan berdasarkan bentuknya, ayat pasif dapat dibahagikan kepada tujuh jenis seperti yang di bawah ini:

Jenis Ragam Pasif
Contoh:
1. Ayat Pasif Berpelaku (Jati)

Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Diri Pertama.
1. Karangan itu telah saya baca tadi.
Ayat Pasif dengan Kata ganti diri kedua
2. Lawatan itu perlu kamu sertai.
Ayat Pasif dengan kata ganti diri ketiga
3. Surat itu telah dibaca oleh Encik Shamsul.
2. Ayat Pasif tidak berpelaku (semu)

Ayat Pasif dengan perkataan `kena’
4. Pencuri itu kena tangkap semalam.
Ayat pasif yang berapitan ke-…-an.
5. Dia kehujanan ketika pulang dari sekolah.
Ayat pasif dengan awalan ber-
6. Kain yang koyak itu masih belum berjahit.
Ayat pasif dengan awalan ter-.
7. Ashaari teringat oleh ibunya di kampung.

Tegasnya, pengetahuan tentang jenis ragam ayat dalam bahasa Melayu amat penting. Melalui pengetahuan ini, murid akan dapat membina ayat aktif atau ayat pasif dengan baik dan gramatis.



D.   Menguasai Binaan ayat


Dalam bahasa Melayu, terdapat ayat yang berbeza kepanjangannya. Ayat yang panjang biasanya ayat majmuk. Ayat yang pendek pula biasanya ayat tunggal atau ayat dasar. Namun demikian, terdapat juga ayat yang panjang tetapi bukan ayat majmuk. Oleh hal yang demikian, perlu perlu menguasai binaan ayat yang ada dalam bahasa Melayu.

Dari segi binaan, ayat  dibahagikan kepada ayat dasar, ayat  tunggal dan ayat majmuk.

Ayat dasar ialah ayat yang terdiri daripada satu klausa sahaja. Ayat ini tidak mempunyai unsur  keterangan dan merupakan ayat penyata sahaja. Contoh ayat dasar:

  1. Beliau guru mata pelajaran Bahasa Melayu.
  2. Mereka di padang.

Ayat tunggal ialah ayat yang terdiri daripada satu klausa. Ayat tunggal mempunyai keterangan dan merangkumi semua jenis ayat. Contoh ayat tunggal:

  1. Dia ke Kluang pagi tadi.
  2. Beliau jurulatih pasukan itu?

Ayat majmuk ialah ayat yang terdiri daripada dua klausa atau lebih. Ayat ini terdiri daripada semua jenis ayat.  Ayat majmuk pula dipecahkan kepada beberapa jenis seperti ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan, dan ayat majmuk campuran. Ayat majmuk pancangan pula dipecahkan kepada beberapa jenis yang lain, iaitu ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen, dan ayat majmuk pancangan keterangan.

Contoh ayat majmuk:

  1. Beliau penceramah yang terkenal di negara kita.
  2. Salim dan Arshad akan menyertai pertandingan itu.
  3. Pasukan itu berjaya mengalahkan pasukan Perak.
  4. Beliau menyatakan bahawa mesyuarat itu telah dibatalkan.
  5. Perlawanan itu dibatalkan kerana hujan  lebat.
  6. Bahktiar dan Khamis ialah pemain yang berpengalaman.

Kesimpulannya, penguasaan ayat dalam bahasa Melayu amat penting jika seseorang itu ingin menguasai bahasa Melayu dengan baik, terutamanya aspek penulisan. Sebagai petua untuk menguasai bahasa Melayu, seseorang itu perlulah menguasai aspek bahasa Melayu yang berkaitan dengan ayat sekurang-kurangnya empat peringkat, Peringkat yang pertama, mereka mestilah menguasai bahagian subjek dan predikat. Hal ini perlulah diikuti dengan penguasaan jenis ayat, kemudian bahagian ragam ayat dan seterusnya binaan ayat.  Namun demikian, sebelum empat perkara ini dikuasai, mereka mestilah menguasai kata, frasa,  dan klausa. Apabila semua perkara ini dikuasai, pengguna atau pencinta bahasa Melayu akan dapat menghasilkan penulisan yang baik.


(Sumber: Majalah Pelita Bahasa, Januari 2011)

No comments:

Post a Comment